mutakhir

Serbu lima lokasi

Oleh Junaidi Ladjana

SEMBILAN BELAS individu disyaki pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan polis dan pelbagai agensi penguat kuasa, di daerah Kota Kinabalu, semalam.

Operasi bersepadu selama empat jam, berakhir 2 pagi Sabtu lalu membabitkan lima lokasi serbuan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tumpuan lokasi operasi yang dijalankan adalah kawasan bandar raya yang mana kadar pertumbuhan PATI mengundang kepada kegiatan jenayah di daerah ini.

“Hasil operasi selama empat jam berjaya menahan 19 individu disyaki PATI berusia 12 hingga 52 tahun.

“Tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan di lima lokasi di dalam daerah ini memakan masa empat jam dengan dibantu pelbagai agensi antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Operasi sebegini akan berterusan dalam usaha membanteras PATI khususnya di bandar raya ini.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui medium sosial seperti Facebook (FB) Polis Kota Kinabalu dalam usaha untuk membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 10:46am
d