mutakhir

Bukan keputusan mudah[METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“JIKA kami dikatakan membuat keputusan untuk ke sini (London) kerana mengikut hawa nafsu kami, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa Ainul ke sini pun satu risiko besar buat dirinya,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada Ainul Mardhiah menerusi Facebook, hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, selain pembedahan yang terlalu berisiko, membawa Ainul ke London adalah salah satu risiko besar yang perlu ditempuhi anaknya.

"Tahukah anda, tiga hari selepas Ainul tiba di sini, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) kerana jangkitan?

"Bacaan oksigennya daripada 100 peratus turun ke 50 peratus serta merta, Ainul tiba-tiba jadi sesak nafas dan keluar darah dari mulutnya.

"Ya, mengikut kata doktor, Ainul kena infection (jangkitan) disebabkan perjalanan yang panjang dan berada lama di dalam kapal terbang," katanya.

Menurut Ahmad Saifuddin, keputusan ujian imbasan X-ray mendapati seluruh tubuh badannya dipenuhi virus iaitu 80 peratus putih bermaksud dalam badannya tidak ada udara.

Namun, Ahmad Safiuddin berkata, dia bersyukur kerana anaknya kuat melawan penyakit berkenaan sehingga selamat menjalani pembedahan.

"Alhamdulillah, seminggu pertama Ainul betul ‘struggle’ (berjuang) melawan jangkitan berkenaan dan dia berjaya," katanya.

Melalui hantaran yang lain dalam waktu sama, Ahmad Saifuddin turut menjelaskan keadaan anaknya sebelum menjalani pembedahan.

"Ya, bermacam risiko yang Ainul perlu ambil sehingga lah risiko melibatkan kematian.

"Tapi kamu sebagai ibu bapa boleh buat apa?Jalan yang ada cuma bedah dan buang sahaja.

" Mereka (doktor) sedar, mahu bedah Ainul yang kecil ini bukan sedikit risikonya, tapi mereka juga sedar bahawa itu saja jalan yang ada.Mahu tak mahu, risiko iti perlu diambil untuk kebaikannya," katanya.

Ahmad Safiuddin berkata, hantaran di Facebook itu bukan bermakna dia mengangkat tinggi usaha doktor di luar negara dan merendahkan kepakaran dari Malaysia.

"Sebaliknya, jika kami diberi peluang dan ruang, kami mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor yang telah merawat Ainul sepanjang sembilan bulan ini.

"Percayalah, anda semua adalah doktor yang hebat dan adalah doktor Ainul Mardhiah yang terbaik kerana sentiasa magu yang terbaik buat Ainul.

"Harapan kami , mudah-mudahan ketumbuhan ini tidak datang lagi kerana mengganggu kehidupan puteri sulung kami ini dan mudah-mudahan Allah memberikan kesembuhan secara ‘total’ (penuh) buat Ainul Mardhiah.

"Rakyat Malaysia pun sangat baik hati.Tanpa sumbangan dan doa kalian, mungkin Ainul tidak akan sampai ke tahap ini ,dengan izinNya," katanya

Isnin lalu, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di sebuah hospital di London.

Pembedahan yang mengambil masa lima itu dijalankan sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 11:47am
    d