mutakhir

'Naga' menyusuri Sungai Melaka

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PENGANJURAN Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka 2019 menjadi medan perpaduan kaum.

Acara tahunan sejak 36 tahun lalu itu bukan hanya mengumpulkan pembabitan masyarakat Tionghua, malah kepelbagaian kaum lain mengambil bahagian dalam perlumbaan yang semakin menyerlah tahun ini.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, pembabitan pelbagai kaum dalam satu pasukan membuktikan perpaduan perlu dibentuk dalam mencapai satu misi iaitu kemenangan.

“Untuk mencapai kemenangan, semua anggota pasukan harus bersatu hati dan menggabung tenaga. Dalam konteks realiti di Malaysia, rakyat berbilang kaum juga harus bersatu padu menjaga keamanan negara dan pembangunan negeri,” katanya dalam teks ucapan perasmian dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Perlumbaan itu anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka, Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kota Laksamana dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Gimik perasmian, Tey bersama tetamu kenamaan lain diberi peluang berkayuh perahu naga dan melempar kuih chang ke sungai.

Turut menarik perhatian apabila seorang guru dari Negeri Sembilan menyertai pasukan perahu naga Melaka.

Guru terbabit, Kiew Sieng Eik, 32, yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yik Hwa, Negeri Sembilan berkata, ini adalah kali kedua dia menyertai pertandingan perlumbaan perahu naga di Melaka.

“Dulu saya tidak pernah berkayuh atau terbabit dengan sukan air, namun sejak melihat iklan mengenai perlumbaan ini kira-kira dua tahun lalu, saya ajak beberapa rakan menyertainya kerana berlumba perahu naga adalah kebudayaan masyarakat Cina.

“Saya gembira mengambil bahagian kerana dapat beriadah dan bertemu pesaing untuk saling berkenalan,” katanya yang menyertai pasukan NewBie Dragon dari Melaka.

Sementara itu, Khoo berkata, program bermula sejak jam 8 pagi berjaya mengumpul lebih 1,000 pengunjung termasuk peserta membabitkan 35 pasukan bertanding termasuk dari Singapura.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 2:48pm
d