mutakhir

Kahlua kucing kebanggaan Sarawak

Oleh Goh Pei Pei

KAHLUA, kucing comel berjaya meletakkan Sarawak dalam peta peminat kucing apabila memenangi anugerah kucing baka `Miane Coon’ terbaik pada pertunjukan kucing antarabangsa, bulan lalu.

Kucing berusia 17 bulan milik Cheryl Cheah itu turut memenangi beberapa anugerah dalam kelas berlainan pada saingan di seluruh dunia, sebelum ini.

Kahlua, kucing dengan bulu bewarna perang, hitam dan putih diiktiraf sebagai Kucing Terbaik Malaysia dan kucing tunggal dari negara ini yang disenaraikan antara 10 Kucing Terbaik di Pertandingan Baka Antarabangsa dengan kucing dari Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Filipina.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, kejayaan Kahlua itu sesuatu yang amat membanggakan, meskipun pemiliknya sukar membawa kucing itu ke luar Sarawak berikutan penularan wabak rabies di Sarawak.

Berikutan itu katanya, pemilik kucing itu meminta bantuan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk membenarkan Kahlua bertanding di Kedah iaitu pertandingan terakhir tahun ini.

“Kita bangga kerana selepas dibenarkan bertanding, kucing itu mencapai kejayaan sekali gus berjaya meletakkan Sarawak dalam peta peminat kucing antarabangsa,” katanya.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin bersama Dr Kelvin masing-masing menyampaikan saguhati RM1,000 kepada Cheah dan kucingnya sebagai menghargai kejayaan sulung kucing dari Sarawak itu pada pertandingan bertaraf antarabangsa.

Beliau yang turut menyokong aktiviti berkaitan kucing menyumbang RM5,000 kepada Kelab Kucing Jalanan Sarawak sebagai bantuan untuk menguruskan kucing terbiar.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 3:19pm
d