mutakhir

Dua maut kemalangan tiga motosikal

Oleh Nor Amalina Alias

DUA termasuk seorang pelajar lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 6, Jalan Pasir Puteh-Telosan, Pasir Puteh, malam tadi.

Dalam kejadian 11.29 malam itu, mangsa Mohamad Faqizul Hakim Mat Noor, 16, dan buruh binaan warga Myanmar, Mohd Rafik Amir Hakim, 24 meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika kejadian Mohamad Faqizul yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram menunggang motosikal Honda C70 dari Pasir Puteh ke Telosan.

“Bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, motosikalnya hilang kawalan sebelum melanggar motosikal Honda EX-5 ditunggang Muhammad Nazrullah Md Lazim, 20, dari arah sama.

“Kemalangan itu menyebabkan motosikal Mohd Faqizul terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal dinaiki Mohd Rafik bersama rakan senegaranya Has Noor Noor Mohammad, 24 ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan Mohamad Faqizul dan Mohd Rafik maut di tempat kejadian.

Menurutnya, Muhammad Nazrullah dan Has Noor yang parah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 5:24pm
d