mutakhir

Tahan nelayan tamak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN nelayan berusia 35 tahun menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda secara haram ditahan, semalam.

Bot nelayan Kelas A ditahan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah jam 11.57 malam pada jarak 0.2 batu nautika dari pantai Kuala Sala.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot itu memecut laju untuk melarikan diri sebaik dihampiri tetapi cubaannya gagal.

“Bot nelayan dianggarkan bernilai RM20,000 kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menasihatkan pengusaha bot nelayan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

“Kerjasama erat komuniti maritim setempat adalah faktor utama dalam membanteras pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah di laut.

“Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 5:40pm
d