mutakhir

[UPDATE] 6 suspek gaduh bersenjata ditahan, 3 diburu

Oleh Abdul Rahemang Taiming

POLIS menahan enam lelaki dipercayai terbabit dengan kes pergaduhan di terminal bas di Jalan Stephan Tan di Tawau, tengah hari ini.

Semua mereka yang berusia antara 15 tahun hingga 26 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan pada 1.45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang mangsa berusia 17 tahun, selepas rakaman aksi pergaduhan mereka tersebar di media sosial sejak petang semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat tindakan mangsa yang dalam keadaan mabuk menarik rantai perak milik seorang suspek sehingga putus sebelum pergaduhan tercetus.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di telinga dan menerima rawatan di Hospital Tawau sebelum dibenarkan pulang pada hari sama.

“Semua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sementara menunggu perintah reman yang dimohon esok,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata, ujian saringan air kencing semua suspek bagaimanapun didapati negatif dan pihaknya juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya.

Berita berkaitan

Polis belum terima laporan kes gaduh [METROTV]

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 7:34pm
d