mutakhir

Tak sempat hadiri majlis pertunangan

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

LIMA sekeluarga yang terbabit kemalangan di Kilometer 51 Jalan Temerloh-Kemasul, Bera, tengah hari ini, dikatakan dalam perjalanan menghadiri majlis pertunangan saudara mereka.

Dalam nahas 1.50 tengah hari membabitkan kereta Perodua Viva dengan lori itu, empat daripada mereka, termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Perodua Viva, Nor Amri Mohd Ali, 35, serta penumpang hadapan, Siti Rahmah Abidin, 33, dan dua penumpang belakang, Siti Zubaidah Abidin, 40, dan Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6.

Manakala, seorang lagi penumpang, Nor Shuhada Shukri, 29, parah di kepala dan pemandu lori, Norzami Mohd Nor, 39, cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kereta mangsa dari arah Kemasul menuju Temerloh itu bertembung dengan lori yang tiba-tiba terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati, punca kemalangan disebabkan oleh sebuah lori yang terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori serta kereta yang dinaiki mangsa.

“Siasatan juga mendapati, jalan terbabit lurus serta keadaan cuaca yang baik dan cerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 9:04pm
d