mutakhir

Kena belasah guna mop

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG lelaki memukul pekerja kedai runcit wanita dengan mop di Jalan Paya Besar, Lunas di Kulim, kelmarin.

Lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan berdendam dengan wanita berkenaan kerana mendakwa mangsa berkelakuan kurang ajar dengannya ketika membeli mop di kedai runcit di situ, Khamis lalu.

Lelaki terbabit yang tidak berpuas hati cuba menampar mangsa ketika itu, namun dihalang pelanggan lain menyebabkan dia nekad datang semula ke kedai berkenaan kelmarin dan memukul mangsa dengan mop yang dibelinya sebelum itu.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun yang sedang bekerja dipukul lelaki terbabit di tangan kiri sebanyak dua kali. Akibat kejadian itu mangsa lebam di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi Tech untuk tindakan selanjutnya.

“Polis yang menerima maklumat kemudian menahan suspek pada 12.30 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 10:47pm
d