mutakhir

Klinik Kesihatan Kuah terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi tiba dengan cepat berjaya mengelak Klinik Kesihatan Kuah, dekat Langkawi, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 7.06 pagi dan anggota BBP Langkawi tiba di lokasi 7.10 pagi dengan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fisol Abdul Kadir itu turut dibantu anggota BBP Persiaran Putra bersama sebuah jentera.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan transformer di dalam kotak suis di dalam bilik AHU klinik.

“Tindakan BBP Langkawi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api (dry powder) dan kebakaran dapat dikawal pada 7.25 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam klinik itu ketika kejadian dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:36am
d