mutakhir

'Kera punca Aedes membiak'

Oleh Mohd Rafi Mamat

SAMPAH-SARAP, terutamanya bekas yang boleh menakung air yang dibawa kera ke dalam hutan dipercayai antara punca utama pembiakan nyamuk Aedes hingga mengundang wabak denggi di Taman Perumahan Balok Pine, di Kuantan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Balok Pine, Asbollah Ibrahim berkata, plastik dan bekas minuman dilarikan haiwan itu banyak terdapat dalam hutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kumpulan kera ini mengambil bungkusan dalam tong sampah penduduk dan membawanya ke kawasan hutan berhampiran taman perumahan kami.

“Sebelum ini, memang banyak kera di sekitar kawasan ini, namun jumlahnya sudah berkurangan selepas Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap kotak khas.

“Namun, sampah seperti plastik dan bekas minuman tetap masih banyak terdapat dalam hutan, apabila air bertakung dalam bekas itu, ia menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya pada program gotong royong membersih kawasan, di Kuantan, semalam

Hadir sama Pegawai Perubatan Unit VektorPejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Dr Aladdin Mohd.

Program anjuran PKD Kuantan dengan kerjasama agensi lain itu disertai kira-kira 150 penduduk yang menumpukan kepada kerja melupuskan sampah plastik dan bekas minuman yang ditemui dalam hutan sekitar taman perumahan berkenaan.

Asbollah berkata, kawasan taman perumahan itu sudah dua kali diserang wabak denggi tahun ini dengan kes terbaru dilaporkan bulan lalu membabitkan 31 kes.

Sementara itu, Dr Aladdin berkata, bagi menjamin wabak itu tidak terus berlaku, penduduk perlu sentiasa menjaga kebersihan dan memastikan tidak terdapat bekas yang menakung air.

“Saya dapati terdapat banyak sampah dan bekas minuman yang boleh menjadi tempat air bertakung dalam kawasan hutan berhampiran taman perumahan ini dan bekas inilah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Penduduk perlu memberi perhatian serius terhadap kebersihan persekitaran bagi mengelak wabak denggi tidak terus berulang,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:45am
d