mutakhir

15 hari, RM419,818.30 rampasan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Briged Utara merekodkan 22 kes tangkapan dan rampasan bernilai RM419,818.30 pelbagai kesalahan sepanjang penugasan menjaga sempadan Malaysia- Thailand (Ops Wawasan Kedah/Perlis) sejak 1 Jun hingga 15 Jun ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Superintendan Khalid Saion berkata, hanya dalam tempoh 15 hari sepanjang penugasan dilakukan, lima individu ditahan iaitu dua daripadanya ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 manakala seorang lagi ditahan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan - Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Selain itu katanya, seorang warga asing pula ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960/Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada 22 kes itu, sebanyak lapan kenderaan dirampas yang membabitkan sebuah kenderaan dan tujuh motosikal.

“Selain itu, 13 butir peluru senapang patah turut dirampas dari seorang lelaki warga Myanmar dan dalam tempoh 15 hari ini juga, anggota kami merampas 2.4 tan daun ketum yang cuba diseludup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, turut dirampas pelbagai lagi rampasan membabitkan pelbagai jenis mercun, telefon bimbit dan wang tunai.

Beliau berkata, diharap prestasi dan kejayaan seperti ini dapat dikekalkan oleh pegawai dan anggotanya dari PGA Batalion 18 sehingga penugasan selesai 1 Julai ini.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 10:09am
d