mutakhir

Dituduh dera dua anak angkat

Oleh Sarah Zulkifli

LELAKI didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini, atas dua tuduhan mendera dua anak angkatnya masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun di sebuah rumah di Seri Kembangan, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Rajah Abdullah, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Lelaki yang juga peniaga di Pasar Borong Selangor itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia tujuh serta lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada muka dan badan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, jam 6 petang pada 30 Mei lalu.

Dakwaan kedua-dua kes itu mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee tidak menawarkan jaminan namun memohon jumlah jaminan yang tinggi jika mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam T Harpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.

Hilmiah membenarkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh menjadi penjaga kepada seorang anak angkatnya itu sejak setahun lalu.

Pada 11 Jun lalu, lelaki itu yang mengaku mendera kanak-kanak perempuan itu direman di Mahkamah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan sebuah rumah di lokasi kejadian turut menemui dua sudu panjang berukuran 80 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan kanak-kanak perempuan berkenaan.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 3:25pm
d