mutakhir

Geng Abang Botak lumpuh sepenuhnya [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perlis memberkas saki baki sindiket pemalsuan MyKad dan sijil kelahiran yang dikenali sebagai Geng Abang Botak di Manjung, Perak, Sabtu lalu.

Pengarah JIM Perlis, Basri Othman berkata, dalam operasi dijalankan pada 2 pagi itu, 10 warga Filipina terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak berusia antara tiga hingga 57 tahun ditahan.

Beliau berkata, dengan penahanan itu, Geng Abang Botak lumpuh sepenuhnya yang selama ini bertanggungjawab menjadi ejen menyeludup warga asing dari Filipina.

“Seorang lelaki daripada 10 warga asing berkenaan yang berusia 55 tahun dikenali sebagai Abang Jalak adalah orang kanan kepada suspek utama yang ditahan di Bukit Keteri, Padang Besar pada Jumaat lalu.

“Dia yang juga warga Filipina bertanggungjawab sebagai ejen sindiket berkenaan serta membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina masuk ke negara ini melalui Sabah.

“Kita percaya dia sudah menetap lama di Perak bagi membantu sindiket berkenaan menjalankan kegiatan pemalsuan MyKad dan sijil kelahiran selain membantu PATI dari Filipina bekerja sebagai buruh pembinaan dan perkapalan di sekitar Perak,” katanya pada sidang media di Bilik Perkasa, Ibu Pejabat JIM Perlis, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sindiket yang bertanggungjawab memalsukan MyKad dan sijil kelahiran bagi membawa masuk PATI dari Filipina tumpas dengan penahanan dalang utama yang juga warga tempatan berusia 39 tahun di Bukit Keteri, Padang Besar, pada Jumaat lalu.

Sindiket berkenaan mengklonkan MyKad dan sijil kelahiran milik warga tempatan khususnya dari Sabah sebelum ia dijual kepada PATI Filipina pada kadar RM500 hingga RM1,000.

Mengulas lanjut, Basri berkata, bagi mengaburi mata penduduk setempat, mereka tidak bercampur dengan masyarakat di Manjung, Perak dan jarang berada di kediaman mereka pada waktu siang.

“Meskipun mereka menetap lama di sana (Perak), penduduk setempat tidak begitu akrab dengan mereka.

“Mereka keluar bekerja di tapak pembinaan dan bengkel membaiki kapal pada awal pagi dan pulang ke rumah lewat tengah malam bagi mengaburi mata penduduk setempat,” katanya.

Basri berkata, sejumlah MyKad dan sijil kelahiran palsu, telefon bimbit dan kad ATM dirampas manakala semua mereka direman pihaknya mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 8:55pm
d