mutakhir

Pemilik spa didenda RM100,000 [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

AKIBAT mengendalikan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah, seorang pemilik spa yang menjalankan amalan perubatan estetik didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya Orang Kena Saman (OKS), Farabi Ahmad Mohd Amin @ Che Min, 31, gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, OKS bersetuju membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa perakuan pendaftaran di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) pada 2017.

Dia turut didakwa bukan seorang pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan tidak pernah diberi Sijil Amalan Tahunan.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di premis Raisya Medispa beralamat di Lot PT 18092, Kompleks Perniagaan Sura Gate di Dungun pada 11.30 malam, 13 April 2017.

Farabi Ahmad didapati melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang boleh dihukum di bawah seksyen 5(1)(a)(i) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:05pm
d