mutakhir

Tahniah SMK Tanjung Datuk

Oleh HM Digital

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Datuk, Pengerang, Johor pulang ke tanah air dengan kejayaan cemerlang apabila meraih pingat emas pada Expo Reka Bentuk, Idea dan Reka Cipta Jepun (JDIE) 2019 di Tokyo, berakhir hari ini.

Selain memenangi pingat emas bagi projek Alat Perangkap Sampah Bahan 3R, SMK Tanjung Datuk juga meraih Anugerah Khas bagi projek sama serta pingat perak bagi satu lagi projek dipertandingkan iaitu Alat Penapis Sinki Menggunakan Rawatan EM.

Guru Penolong Kanan yang bertindak selaku Pengurus Projek, Latifah Saat berkata, kemenangan dicapai dalam ekspo itu adalah pengiktirafan antarabangsa buat sekolah, negeri dan negara.

Menurutnya, seramai 11 pelajar dan pengiring yang terdiri daripada guru, pembantu makmal, pegawai pendidikan daerah serta wakil komuniti dari Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) turut serta dalam pasukan SMK Tanjung Datuk ke Jepun.

“Bagi pihak pasukan inovasi SMK Tanjung Datuk, saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih.

“Ini adalah hasil kerjasama berpasukan antara pengetua, guru, pelajar dan Jabatan Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan Kejora sebagai penaja,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di Jepun, hari ini.

Ekspo antarabangsa yang berlangsung di Hotel Washington Teluk Ariake, Tokyo selama tiga hari bermula Sabtu lalu itu anjuran Persatuan-Persatuan Reka Cipta Harta Intelek Dunia (WIIPA) dan Chizal Corporation.

WIIPA adalah pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai 26 negara dan wilayah iaitu Malaysia, Australia, Brazil, Kanada, Croatia, Mesir, Hong Kong, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Korea, Macau, Myanmar, Filipina, Poland, Qatar, Romania, Arab Saudi, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Latifah berkata, pada Disember lalu, SMK Tanjung Datuk memenangi pingat emas dan anugerah khas bagi Pertandingan Reka Cipta dan Reka Bentuk Antarabangsa (IIDC 2018) di Hong Kong.

Menurutnya, SMK Tanjung Datuk mula terbabit dalam pameran dan pertandingan sains dan teknologi kebangsaan sejak 2008 dan mula aktif di peringkat antarabangsa dari 2012 serta pernah memenangi pingat perak di Bangkok pada 2017.

“Projek yang kami lakukan membabitkan perancangan dan penyediaan rancangan, modul, sesi latihan luar waktu sekolah.

“Kami tidak mengganggu waktu pembelajaran dalam kelas. Kami laksanakan pada waktu petang, hujung minggu, cuti sekolah atau kalau perlu pada waktu malam.

“Program kami membabitkan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) secara langsung baik dalam bentuk khidmat nasihat mahupun bantuan dana,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:52pm
d