mutakhir

10 cedera kemalangan 14 kenderaan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEPULUH individu cedera termasuk empat kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan 14 kenderaan di Kilometer 457.8 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dari arah utara menghala ke Klang, malam tadi.

Kemalangan yang berlaku 11.45 malam itu turut membabitkan sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah kenderaan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.08 tengah malam tadi.

“Kemalangan berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan sayur dari Cameron Highlands menuju ke Johor, hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong sebelah dan melanggar sebuah kenderaan.

“Lori sayur itu kemudian terbalik di lorong kiri dan melanggar sebuah lagi lori dan mengakibatkan semua muatan sayur bertaburan di jalan.

“Siasatan awal mendapati lori sayur dipandu di lorong paling kanan (lorong laju) dipercayai hilang kawalan apabila sebuah kenderaan lain di hadapannya menekan brek secara mengejut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Lapan mangsa sudah dibenarkan pulang, sementara dua lagi mangsa masih menerima rawatan di zon kuning hospital terbabit. Semua mangsa berusia antara empat hingga 44 tahun.

“Kami sudah menahan pemandu lori sayur berusia 36 tahun itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 8:48am
d