mutakhir

Masuk bilik, ambil pedang!

Oleh Harun Yahya

PEGAWAI polis di Sibu berdepan detik cemas apabila diserang dengan pedang dalam kejadian di Jalan Huo Ping, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, pegawai terbabit hadir bersama sepasukan anggota di sebuah bilik sewa untuk menahan seorang lelaki berusia 26 tahun selepas mendapat aduan dari ibu suspek bahawa suspek sering mengamuk serta meracau dipercayai akibat pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, setibanya pegawai dan sepasukan anggotanya di depan pagar rumah, mereka memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek.

“Suspek terus masuk ke dalam biliknya sambil diiringi pegawai dan anggotanya sebelum secara tiba-tiba suspek mengambil sebilah pedang kecil dan menghayun ke arah pegawai itu tetapi sempat dielak.

“Mangsa dan pasukannya terus berlari keluar dari kawasan rumah sambil dikejar lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pegawai itu kemudiannya menghubungi pusat kawalan untuk meminta bantuan unit kenderaan peronda.

“Polis mengekori lelaki itu semula dan menahannya di dalam bilik. Suspek juga masih bertindak agresif ketika tangkapan dibuat.

“Senjata iaitu pedang kecil yang digunakan di tempat kejadian turut dirampas. Selepas menyerang polis, suspek juga mencampak pedang dan satu paket lut sinar mengandungi dadah jenis syabu di hadapan bilik sewanya,” katanya.

Stanley berkata, suspek akan direman berhubung kes narkotik terlebih dahulu dan akan ditangkap semula berhubung kes serangan selepas selesai siasatan serta tindakan oleh pihak narkotik.

“Kes serangan itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh penjawat awam (polis) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 3:19pm
d