mutakhir

Rosmah diminta keluar dari mahkamah

Oleh Murni Wan Omar

KEHADIRAN Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mendengar kes suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Datuk V Sithambaram memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa ia berikutan Rosmah berpontensi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes Najib itu.

Menurutnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini ada merekodkan keterangan Rosmah.

Terdahulu, Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi itu, pada 9.20 pagi dan duduk di tempat duduk di galeri awam di belakang Najib.

Rosmah hadir ke mahkamah hari ini berikutan sebutan semula kes membabitkan dirinya di Mahkamah Tinggi yang lain.

Peguam Datuk K Kumaraendran bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu sebelum ini pernah berada di dalam mahkamah bagi mendengar kes itu sebelum ini dan tidak pernah dibantah.

Ketika kedua-dua pihak itu berhujah, Rosmah dilihat keluar daripada bilik mahkamah.

Rosmah kemudian dilihat beredar dari perkarangan mahkamah dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

Berikutan keadaan itu, prosiding perbicaraan kes tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib diteruskan dengan perbicaraan.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 3:57pm
d