mutakhir

Ribut badai Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

RAKYAT Perlis diminta untuk tidak menghampiri perairan dan kawasan pantai sehingga petang esok bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berikutan ribut dan angin kencang yang melanda negeri itu.

Timbalan Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar (PA) Mohd Farid Ishak berkata, sehingga 1 tengah hari tadi paras air laut hari ini mencatatkan paras tertinggi dalam masa tiga hari.

“Paras air laut hari ini mencatatkan pada ketinggian 3.2 meter berbanding semalam, paras itu agak tinggi berikutan kini Perlis berada pada musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Ogos depan.

“Malah, kelajuan angin turut meningkat antara 10 kilometer sejam hingga 14 kilometer sejam untuk hari ini.

“Jadi kita menasihati pengguna jalan raya dan nelayan untuk berhati sekiranya menggunakan jalan di persisiran pantai Kuala Perlis dan turun ke laut,” katanya ketika ditemui di perairan Kuala Perlis, hari ini.

Mohd Farid berkata, pihaknya kini sedang bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan berikutan ribut dan angin kencang yang melanda Perlis sejak pagi tadi.

“Setakat ini paras air di sungai dalam negeri ini masih normal, cuma seperti yang saya maklumkan pengguna diminta berhati-hati kerana hari ini APM sudah menerima lapan kes pokok tumbang.

“Dua kes pokok tumbang dilaporkan di bandar Kangar yang membabitkan kerosakan sebuah kenderaan di kawasan parkir Bangunan Tun Abdul Razak dan Kota Kayang.

“Manakala, tiga lagi di daerah Padang Besar, dua kes di Kuala Perlis dan satu di Arau,” katanya.

Beliau berkata, bilangannya mungkin meningkat kerana Perlis dijangka dilanda ribut dan angin kencang sehingga 4 petang esok.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 4:47pm
d