mutakhir

Tujuh cedera MPV dihempap lori

Oleh Adnan Ibrahim

TUJUH cedera selepas sebuah lori tangki yang hilang kawalan menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di laluan bertentangan dalam kejadian di Kilometer (KM) 116 Jalan Johor Bahru-Seremban, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kejadian pada jam 8.10 pagi itu mengakibatkan empat individu termasuk pemandu lori berkenaan mengalami cedera parah, manakala tiga yang lain cedera ringan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang datang dari arah Chaah ke Yong Peng cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya.

“Kejadian itu mengakibatkan pemandu lori berusia 42 tahun gagal mengawal kenderaannya sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan lori berkenaan terbalik dan menghempap kereta dinaiki enam mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pemandu dan dua penumpang MPV terbabit yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki kanan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori terbabit turut mengalami kecederaan di bahagian tangan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi sebelum dua jentera dan sebuah ambulans EMRS turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dua balai bomba terbabit dalam operasi ini iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis serta BBP Yong Peng dengan tujuh anggota dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.53 pagi tadi.

“Kami dimaklumkan ada enam mangsa di dalam kereta dan tiga daripada mangsa MPV dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Yong Peng sebelum pihak bomba tiba,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 4:48pm
d