mutakhir

Tak serik-serik [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

PENGENDALI sebuah premis tidak berlesen di Nibong Tebal tidak serik apabila terus menjalankan kegiatan penyiringan tong gas cecair petroleum (LPG) bersubsidi, walaupun sudah tiga kali diserbu sejak Januari lalu.

Premis beroperasi di Kampung Teluk, sekali lagi diserbu kerana menjalankan kegiatan penyiringan tong gas LPG bersubsidi kepada industri dalam operasi dijalankan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, 6 pagi, hari ini.

Ketua Penguatkuasa PPDNHEP Seberang Perai Tengah, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan ke atas premis terbabit dibuat selepas pemerhatian dijalankan sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana suspek berjaya melarikan diri dipercayai selepas tonto yang berlegar di kawasan berhampiran memberikan maklumat kepada mereka.

“Sebanyak 28 tong gas LPG berkapasiti 50 kilogram (kg), 98 tong gas LPG berkapasiti 14kg dan 26 hos getah, dianggarkan bernilai RM11,330 dirampas.

“Kita juga sedang menyiasat pemilik premis haram ini menerusi rekod berkaitan daripada pemilik tanah dan dokumen bil api serta air yang digunakan premis terbabit,” katanya pada sidang media di Nibong Tebal, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta; penjara maksimum atau kedua-duanya, manakala syarikat perbadanan boleh didenda maksimum RM2 juta.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 5:30pm
d