mutakhir

Parok dikekoh beruk

Oleh Siti Rohana Idris

“UMI abe kena kekoh (gigit) beruk,” jerit Muhammad Putra Rafiqi Mohd Rozaidi, 9, selepas diserang beruk jantan di Kampung Teluk Renjuna di Tumpat, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, Nik Muhammad Putra Rafiqi cedera di kedua belah tangan dan kaki, kemaluan dan perut akibat digigit haiwan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari majlis hari raya di rumah jirannya.

Ibunya, Nik Fazilah Mohd Nawi, 37, berkata, kejadian itu berlaku ketika dua anaknya bersama dua sepupu dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya ketika itu masih di rumah jiran kerana menghadiri majlis hari raya dan anak meminta izin untuk pulang terlebih dahulu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, haiwan terbabit yang berada di atas pokok terus menerkam anak saya.

“Beruk itu terus menggigit seluruh tubuh anak dan dia hanya mampu menjerit meminta tolong, malah adik dan dua sepupunya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tergamam.

“Anak saya terpaksa bergelut sebelum berjaya melepaskan diri,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam keadaan berlumuran darah, Rafiqi terpaksa mengengsot ke rumah jiran untuk mendapatkan pertolongan.

“Saya kemudian keluar dari rumah dan hampir pengsan melihat keadaan anak yang cedera dan berdarah di kaki dan tangannya sebelum segera membawanya ke unit kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menggunakan bot penambang.

“Beruk itu sudah diikat di pokok dan difahamkan pemiliknya tiada di rumah kerana pulang sementara ke negara asalnya di Thailand,” katanya

Menurutnya, anaknya kini dirawat di Wad Anggerik, HRPZ II dan akan dijangka akan menjalani pembedahan pagi esok.

“Doktor maklumkan kesan gigitan itu ada yang mengenai urat sendi anak dan luka agak dalam.

“Saya harap tiada kecederaan serius dan anak akan sembuh seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 7:52pm
d