mutakhir

Peniaga ayam maut motosikal bergesel

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PENIAGA ayam maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas di Kampung Pasir Hor di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi, mangsa, Ab Salam @ Azri Abdullah, 39, yang menunggang motosikal Modenas Kriss maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Pemandu wanita kereta jenis Proton Arena berusia 54 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dari Wakaf Che Yeh menghala ke Pasir Hor.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi bergesel dengan kereta dipandu seorang wanita sebelum hilang kawalan dan terbabas di kiri jalan.

“Mangsa maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 8:40pm
d