mutakhir

Haziq perlu dihadap ke Mahkamah Syariah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz perlu dihadapkan ke Mahkamah Syariah atas pengakuan dibuatnya sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengakuan itu adalah fakta jelas mengenai kemungkaran dilakukan Haziq dan boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

“Bila sudah mengaku perlu dihukum. Kita (PAS) bimbang jika tidak diambil tindakan, akan lebih ramai yang berani mengaku buat perkara salah di sisi Islam tetapi tidak dikenakan tindakan.

“Dalam Islam, kalau hendak tuduh perlu bawa empat saksi, jika tiada pengakuan saksi, pengakuan orang yang terbabit boleh diterima. Dalam Islam penyaksian payah dilaksana jadi pengakuan yang terbabit boleh dikenakan (hukuman),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS kali ke-60 di Bukit Gambang, Kuantan, hari ini.

Haziq, 27, sebelum ini mengaku terbabit dalam video lucah dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tersebar luas di media sosial.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam video itu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan jahat serta kejam.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, siasatan pihak berkuasa perlu fokus kepada pengakuan dibuat Haziq bukan perkara lain.

Katanya, pengakuan Haziq adalah fakta jelas yang boleh diambil tindakan oleh mana-mana mahkamah sama ada syariah atau jenayah.

“Saya harap perkara seperti ini (video seks) dihentikan, kerana kita (Malaysia) menjadi perhatian dunia, orang luar akan beranggapan negatif mengenai budaya politik di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 1:51pm
d