mutakhir

Tak mengaku sembunyi wang

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEGAWAI khidmat pelanggan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang dalam kejadian Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Norma Shafie, 37, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Buloh, Selangor, didakwa menolong menyembunyikan wang hasil penipuan menyamar pegawai polis melalui panggilan telefon daripada Mohamad Dahlan Alib, 42.

Kesalahan itu dilakukannya di CIMB Bank, Jalan Bendahara, Melaka Tengah, pada 27 hingga 28 Februari 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal kemudian mencadangkan jaminan RM6,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tiga anak masih bersekolah dan berpendapatan RM2,000 selain suaminya hanya bergaji RM1,300.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 selain menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 3:18pm
d