mutakhir

Nasib tak terikut perangai mu ayah

Oleh Iskandar Shah Mohamed

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) menyelamatkan seorang remaja lelaki yang terpaksa hidup bersama bapanya di sebuah rumah dijadikan sebagai ‘port’ dadah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat.

Difahamkan, remaja berusia 13 tahun menetap di rumah berkenaan sejak setahun lalu selepas kedua ibu bapanya berpisah.

Pada masa sama, rumah itu dikatakan menjadi sarang penagihan oleh bapa dan rakannya, sekali gus menyebabkan remaja berkenaan menjadi mangsa keadaan.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota AADK Kuala Langat yang menyerbu rumah itu dalam Ops Cegah, kira-kira jam 4 pagi.

Sumber berkata, ketika serbuan, empat individu termasuk bapa remaja berusia 40-an dipercayai sedang menagih dadah dalam rumah berkenaan.

“Tiga lelaki termasuk bapa remaja berjaya melarikan diri di semak berdekatan manakala seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan menemui remaja terbabit sedang leka bermain telefon bimbit di biliknya. Selain itu, peralatan dadah ditemui dalam rumah berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Sumber berkata, remaja berkenaan diserahkan kepada ibu saudaranya dengan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Siasatan awal mendapati, ibu bapa remaja itu berpisah sejak sembilan tahun lalu dan dipercayai kerap tidak hadir ke sekolah.

“Dia menjadi mangsa keadaan kerana bapanya terjebak dalam dadah,” katanya.

Dalam pada itu, operasi membabitkan lokasi sekitar Tanjung Sepat dan Morib turut menahan empat penagih dadah berusia 20 hingga 42 tahun.

“Mereka didapati positif dadah dibawa ke pejabat AADK Kuala Langat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi AADK Kuala Langat, Muhamad Firdaus Abu Talib mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 4:14pm
d