mutakhir

MH17: 'Harap ada sinar baharu'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SELAIN memberi ‘sinar’ baharu, saya terus mengharapkan pesalah yang melakukan perbuatan itu menerima pembalasan dengan dihadapkan ke muka pengadilan,”

Demikian kata Mariam Yusof, 50, isteri kepada juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh di Timur Ukraine pada Julai 2014.

Selain Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, 50, tragedi itu mengorbankan seramai 297 penumpang serta anak kapal pesawat malang berkenaan.

Mariam berkata, dia sememangnya sudah dimaklumkan oleh MAS menerusi panggilan telefon dan e-mel mengenai taklimat perkembangan siasatan tragedi itu yang dijadualkan berlangsung di Belanda, hari ini.

“Namun, saya sekeluarga tidak dapat menghadiri taklimat itu dan hanya akan menunggu maklumat lanjut mengenainya daripada MAS.

“Kejadian itu sudah memasuki tahun kelima pada 17 Julai depan dan berharap sesuatu perkembangan positif bagi saya serta keluarga semua mangsa lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di Shah Alam.

Kata Mariam, dia reda dengan ketentuan Ilahi namun mahu pesalah yang bertanggungjawab menerima pembalasan setimpal.

“Saya bersama keluarga mangsa lain sudah lama menanti dan sehingga kini belum tahu siapa yang bersalah.

“Pihak yang bersalah itu perlu dikenakan tindakan dan hukuman atas apa yang dilakukannya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan keluarga mangsa kepada 298 orang yang terbunuh dan kumpulan media akan diberi taklimat oleh Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengenai perkembangan siasatan nahas itu hari ini.

JIT ditubuhkan pada 2014 oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine untuk menjalankan siasatan secara bersama.

MH17 Boeing 777 yang dalam perjalanan antara Amsterdam dan Kuala Lumpur ditembak oleh roket buatan Russia BUK pada 17 Julai 2014 ketika melintasi ruang udara wilayah dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Hampir dua pertiga daripada mereka yang terbunuh dalam penerbangan itu adalah warga Belanda, manakala 38 rakyat Australia juga terkorban.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 4:48pm
d