mutakhir

Terima kasih bantu surau kami

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“ALHAMDULILLAH, terima kasih kepada penyumbang kerana menyalurkan bantuan sehingga surau ini dapat dibina semula. Tahun ini kami dapat solat sunat Aidilfitri di surau ini selepas siap dibina, sekarang lebih selesa,” kata Setiausaha Surau Haji Salleh, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Mohd Firdaus Sobri.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya terharu dengan dana diterima daripada syarikat korporat, orang ramai dan masjid serta surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan.

Katanya, bantuan itu diterima untuk membina semula surau berkenaan selepas ia musnah 80 peratus dalam kebakaran 16 Mac lalu.

Katanya, menerusinya surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2011 itu dibina semula dalam tempoh hampir dua bulan dan digunakan sepenuhnya sehari sebelum Ramadan lalu.

“Keseluruhannya, kita terima RM220,000 daripada banyak pihak. Kita bina semula ruang solat yang boleh menempatkan 300 jemaah. Selepas ini kita akan bina dewan untuk kegunaan komuniti,” katanya kepada Harian Metro.

Pihaknya turut menerima sumbangan daripada Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail dalam Majlis Ramah Mesra, Ziarah dan Mahabbah ke surau itu, semalam.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata pihaknya mengaktifkan dana di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan untuk membantu surau terbabit.

Katanya, Surau Haji Salleh adalah antara yang aktif mengadakan pelbagai program termasuk jemputan kepada penceramah terkenal untuk memberikan kuliah selain pelbagai majlis ilmu.

“Kita berharap dengan bantuan ini, surau ini akan terus aktif memainkan peranan sebagai penggerak kepada pelbagai program agama. Ia boleh dijadikan contoh kepada surau atau masjid lain di sekitar Wilayah Persekutuan.

“JAWI akan sentiasa menyokong usaha murni untuk meningkatkan syiar Islam,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 5:25pm
d