mutakhir

Musibah kenal di Tik Tok

Oleh Hasbi Sidek

PERKENALAN dengan Mat Afrika melalui aplikasi Tik Tok membawa musibah kepada seorang wanita apabila dia ditahan pihak berkuasa Jepun selepas didapati membawa dadah di dalam bagasinya ketika memasuki negara itu.

Wanita berusia 23 tahun dan berasal dari Kedah itu diperdaya lelaki dari Nigeria dengan tawaran tiket pelancongan ke negara matahari terbit itu sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, 28 Mei lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, wanita itu ditahan selepas didapati membawa 2 kilogram dadah disyaki syabu.

“Menurut maklumat diperolehi dari pihak berkuasa Jepun, mangsa dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki warga Nigeria melalui laman sosial Tik Tok.

“Wanita itu kemudiannya diberikan tiket dan penginapan percuma di Jepun sebelum ditahan di lapangan terbang selepas pemeriksaan di dalam bagasi yang dibawanya menemui dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan masih ditahan dan pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa di sana berkaitan kes terbabit.

Katanya, meskipun sudah banyak amaran diberikan, namun ramai wanita yang terjerumus menjadi keldai dadah dan ditahan diluar negara.

“Saya menasihatkan wanita dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan sindiket dadah yang menawarkan perjalanan percuma ke luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 5:35pm
d