mutakhir

'Maafkan saya'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA mohon maaf kepada waris atas apa yang berlaku dan terpaksa menutup pusat jagaan ini,” kata pengusaha Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah, Azrin Shala, 49.

Menurut Azrin, premisnya yang beroperasi di Taman Seremban 3, Seremban diarah tutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan siasatan dilakukan susulan dakwaan berlaku penderaan terhadap warga emas seperti yang tular di Facebook.

Dia mengakui sedih apabila terpaksa berpisah dengan 12 penghuni warga emas berusia 65 tahun ke atas yang dijaganya selama ini.

“Saya tidak menyangka begini pengakhirannya (diarah tutup) selepas enam tahun mengusahakan pusat jagaan ini. Mungkin itu yang dimahukan mereka (individu didakwa memfitnah beliau).

“Saya membuka pusat jagaan untuk bantu menjaga warga emas sebaik mungkin seperti diamanahkan waris. Disebabkan perkara itu (tular) waris juga terkesan,” katanya ketika ditemui di premisnya hari ini.

Azrin berkata, dia sudah menghubungi semua waris memaklumkan mengenai penutupan itu dan ada antaranya sudah datang mengambil waris mereka hari ini.

Malah katanya, ada beberapa warga emas akan diambil esok termasuk dihantar beliau sendiri ke rumah anak mereka di sekitar Seremban.

“Saya tidak dapat menahan air mata apabila terpaksa melepaskan mereka (penghuni) kerana hubungan kami sangat baik.

“Mereka juga menangis dan mendoakan masalah ini selesai dengan cepat,” katanya yang akan ke Pejabat JKM Seremban untuk membantu siasatan esok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon ketika dihubungi enggan memberi kenyataan berhubung isu itu.

“Untuk tidak mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan, saya tidak dapat memberikan kenyataan.

“Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terlebih dulu,” katanya.

Berita berkaitan

Ambil tindakan - bekas pekerja

JKM lakukan siasatan menyeluruh

'Saya tidak pernah dera mereka' [METROTV]

Dipaksa minum air kencing, makan cili...

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 7:31pm
d