mutakhir

Brek rosak punca lori terlanggar kubur

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“TIBA-TIBA brek lori gagal berfungsi lalu terlanggar hampir 10 kubur di situ,” kata Setiausaha Pertubuhan Khairat Kematian Masjid Umar Al-Khatab Felda Tenggaroh 2, Azhar Esa, di Felda Tenggaroh 2, Mersing, hari ini.

Azhar berkongsi kejadian tular di media sosial apabila lori simen tergelincir dan melanggar tanah perkuburan Islam di kawasan terbabit.

Azhar yang juga antara penjaga kubur di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 2 dan 4 itu berkata, kejadian pada jam 11 pagi hari ini, mengakibatkan 10 kubur terjejas.

“Ketika kejadian, saya sedang membuat kerja pendawaian elektrik di kawasan perkampungan berhampiran sebelum menerima mesej daripada WhatsApp yang memaklumkan kejadian itu.

“Baru hari ini lori ‘siput’ (lori simen) itu memulakan kerja penambahbaikan jalan di kawasan perkuburan dan empat orang yang terbabit dalam kerja penurapan jalan menggunakan simen.

“Ketika sedang menjalankan kerja penurapan, brek lori itu gagal berfungsi ketika menuruni bukit,” katanya dihubungi hari ini.

Katanya, pemandu lori terus membelokkan stereng ke kanan bagi mengelakkan termasuk dalam gaung sehingga menyebabkan kepala lori terlanggar hampir 10 kubur baharu dan lama di bahagian depan berhampiran pintu masuk.

Azhar yang berkhidmat sejak tiga tahun lalu itu berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan.

“Kawasan ini dikelilingi pokok kelapa sawit dan sebelum ini ada beberapa kenderaan berat memasuki kawasan ini seperti lori sawit berikutan terdapat tanah wakaf di dalamnya untuk mengambil sawit dan jentera binaan (JCB) bagi kerja gali kubur.

“Kawasan itu memang kawasan cerun bukit. Mujur tiada penduduk datang ziarah kubur pada ketika itu, selain pekerja di situ sempat mengelak ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, pengerusi masjid sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Ambat, Mersing pada 12.30 tengah hari.

Katanya, lori berkenaan masih berada di tempat kejadian dan antara kerosakan seperti batu nisan tercabut, kepuk patah serta retak selain simen pecah.

“Sehingga kini, pihak Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) FElda Tenggaroh 2 sudah mengadakan lawatan termasuk pihak yang berkaitan bagi tujuan penelitian semula.

“Satu mesyuarat akan diadakan bagi mengenal pasti kubur terjejas bagi memudahkan urusan kenal pasti waris, kerja pembersihan kubur, selain mendapatkan maklum balas pihak terbabit bagi kos baik pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan, Cyril Edward Nuing ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden berkenaan.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 8:25pm
d