mutakhir

Lubang rahsia sorok rokok haram

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENEMUAN ‘lubang’ rahsia yang hanya mampu memuatkan tangan manusia membongkar aktiviti penyeludupan rokok tidak sah membabitkan dua kedai di Jalan Masjid, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Taktik terbabit terbongkar hasil serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor bagi mengesan aktiviti penjualan rokok tidak sah di bangunan sederet itu, hari ini.

Gelagat dua penjaga kedai pakaian terpakai (bundle) di kawasan terbabit menutup kedai mereka ketika anggota PPM Wilayah Dua Johor menyerbu sebuah kedai runcit berhampiran membuka pekung kegiatan terbabit.

Anggota polis yang memeriksa kedai runcit terletak berselang sebuah kedai daripada kedai pakaian terpakai itu menjumpai satu lubang kecil di sebalik dinding kedai berkenaan.

Dari lubang yang boleh memuatkan tangan manusia itu jelas kelihatan pelbagai kotak rokok dipercayai rokok tidak sah disembunyikan sebelum polis cuba mencari lokasi sebenar menempatkan rokok terbabit.

Hasil pemeriksaan selepas kedai pakaian terpakai itu dibuka pihak polis, terdapat dua penjaga kedai berada di dalam kedai sebelum tempat rahsia menyembunyikan rokok tidak sah itu ditemui di belakang kedai terbabit.

Tiga penjaga kedai bagi dua kedai berasingan itu hanya mengaku pekerja dan mendakwa tidak tahu tentang kewujudan lubang serta rokok terbabit.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, itu antara taktik licik dijalankan individu tidak bertanggungjawab menyeludup masuk rokok tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan.

“Hasil serbuan ini, kami merampas 1,590 paket rokok pelbagai jenama dipercayai tidak sah yang dianggarkan bernilai RM15,467.26.

“Ia ditemui di dua kedai berasingan iaitu pada serbuan pertama di kedai runcit dan kedai kedua, iaitu kedai ‘bundle’.

“Kami percaya kedua-dua kedai ini mempunyai kaitan kerana tempat menyembunyikan rokok di kedai ‘bundle’ itu boleh menembusi sebuah kedai di sebelahnya dan terus ke kedai runcit itu, sebelum dijual,” katanya ketika ditemui di Markas PPM Wilayah Dua Johor selepas serbuan itu, hari ini.

Ditanya mengenai kedai runcit kecil yang hanya menjual rokok dan air serta kedai bundle itu yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), keseluruhannya enam buah, Paul berkata ia dipercayai untuk tujuan pengurusan.

“CCTV itu dipercayai untuk tujuan pengurusan antara majikan dengan pekerja, dipercayai bagi memantau penjualan stok rokok berkenaan.

“Kami akan mendapatkan perintah reman terhadap tiga suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Pada masa sama, ketika serbuan hampir berakhir, polis memasuki sebuah kedai tidak beroperasi terletak bersebelahan kedai runcit berkenaan yang tertera papan tanda kedai dobi dengan pintunya renggang dan tidak berkunci.

Pemeriksaan lanjut di kedai dobi dipercayai dijadikan stor itu kemudian menjumpai sejumlah mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM1,300.

Serbuan dengan kekuatan tiga pegawai serta 14 anggota itu bermula 3.15 petang dan tamat pada 5 petang.

Paul berkata, mereka amat komited untuk membanteras penjualan dan pengedaran rokok tidak sah sama ada secara besar atau kecil-kecilan.

Beliau berkata, operasi itu akan berterusan dalam menangani isu penyeludupan khususnya rokok.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 9:11pm
d