mutakhir

MH17: Masih belum berakhir...

Oleh Fairuz Zaidan

PENGUMUMAN pasukan penyiasat antarabangsa untuk mengheret suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) lima tahun lalu ke muka pengadilan menggembirakan ibu Allahyarham Mohamad Ghafar Abu Bakar, seorang daripada 298 mangsa yang terkorban dalam nahas tragis itu.

Maimoun Sarpan, 79, berkata, jauh di lubuk hatinya sering tertanya-tanya siapakah yang bertanggungjawab di sebalik insiden itu, serta mengapa tindakan itu dibuat sehingga anak sulungnya yang juga Ketua Pramugara MAS terkorban bersama penumpang dan anak kapal lain.

“Apa sebab pesawat MAS itu ditembak, sampai sekarang mak cik tertanya-tanya. Memang kalau dapat tangkap orang yang tembak pesawat itu bagus kerana bunuh orang tidak bersalah, dia (suspek) patut mendapat hukuman sama.

“Perbicaraan yang bakal dikenakan ini juga tentu berpanjangan. Tidak akan habis. Bagaimana pula dengan pampasan (terhadap keluarga mangsa),” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Mengenang kembali memori bersama Mohamad Ghafar, Maimoun yang merenung jauh berkata, dia pernah berpesan dengan arwah anaknya supaya berhenti daripada meneruskan kerjaya sebagai pramugara.

Ditanya apakah yang menggusarkan nalurinya sebagai seorang ibu, Maimoun kelu tiada jawapan, sebelum mengakui antara yang menggusarkannya adalah disebabkan tragedi MH370 yang terlebih dahulu menimpa syarikat penerbangan negara itu.

“Arwah ada cakap entahlah mak, mungkin dia juga akan mati begitu. Saya kata, takkan kau nak tinggalkan mak, nak mati macam tu. Tak lama lepas itu, mak cik tak sangka apa yang dia kata menjadi kenyataan,” katanya.

Ditanya mengenai isteri arwah, Maimoun berkata, menantunya serta tiga cucunya kerap mengunjunginya termasuk sebelum Aidilfitri lalu.

“Yang saya ingat, anak bongsu arwah sehingga saat ini tidak mahu menaiki kapal terbang kerana bimbang berdepan tragedi sama,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 9:27pm
d