mutakhir

AMK gesa Haziq dipecat [METROTV]

Oleh Khairul Azran Hussin

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) membantah keputusan Lembaga Disiplin PKR yang hanya meminta Haziq Abdullah Abdul Azizi, individu dalam video lucah dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menjawab surat tunjuk sebab.

Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, keputusan Lembaga Disiplin parti itu tidak boleh diterima oleh AMK seluruh negara serta wajar dikaji semula.

“Kepemimpinan AMK hari ini mendengar taklimat daripada Hilman (Timbalan Ketua AMK yang juga Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham).

“Kita juga bincang dan mendengar pandangan secara mendalam daripada pemimpin AMK beberapa negeri.

“Kita membuat ketetapan untuk menggesa Lembaga Disiplin parti supaya segera memecat Haziq Abdullah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas AMK di Rumah Pemuda AMK, Seksyen 11, Shah Alam hari ini.

Hari ini, Lembaga Disiplin PKR memutuskan tidak memecat atau menggantung keahlian Haziq Abdullah, sebaliknya meminta beliau menjawab surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, Ketua AMK Cabang Santubong itu diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR, esok.

Sebelum ini, antara yang mendesak parti memecat Haziq Abdullah adalah Naib Presiden, Zuraida Kamarudin.

Mohamed Azmin sendiri turut mendesak Lembaga Disiplin memecat mereka yang menjadi dalang menyebar video lucah dikaitkan dengan dirinya.

Mengulas dakwaan Mohamed Azmin bahawa konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’, Mohd Nazree berkata, AMK yakin kenyataan itu ada asasnya.

“Saya setuju ada pembabitan orang dalam. Kita serahkan perkara ini kepada polis untuk jalankan siasatan selanjutnya.

“Selain itu, AMK dengan tegas menolak politik fitnah serta pembunuhan karektor pemimpin yang cuba dilakukan pihak tertentu terhadap Mohamed Azmin,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 11:46pm
d