mutakhir

Dua biji telur lima beradik

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KUALA LUMPUR: “Dua biji telur dan tauge dikongsi bersama lima beradik yang lain untuk mengisi perut setiap kali ibu tiada duit antara detik sukar dilupakan,” kata B Rajvinder Singh Mathu, 18.

Rajvinder antara 870 penuntut yang terpilih melanjutkan pengajian asasi dan diploma di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi sesi 2019/2020.

Dia yang mengambil jurusan Diploma Ketangkasan Pertahanan nekad belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga di samping ingin berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kesusahan keluarganya bermula selepas ibu bapanya berpisah tujuh tahun lalu.

“Ibu yang bekerja sebagai operator kilang terpaksa menggalas tugas menyara semua adik-beradik.

“Jika ada makanan lain pun kami terpaksa bahagikan sama rata dan jamah serba sedikit,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Dia ditemui semasa Majlis Perasmian Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) UPNM di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM Prof Emeritus Datuk Dr Tengku Mohd Tengku Sembok.

Mengulas lanjut, Rajvinder berkata, keadaan keluarganya mula berubah selepas kakak dan abangnya berhenti sekolah untuk membantu ibu mencari rezeki.

“Hanya saya dan kakak sulung saja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas tamat pengajian saya akan membalas pengorbanan mereka di samping ingin mengubah nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Tengku Mohd berkata, pengajian di UPNM berbeza dengan Universiti Awam (UA) yang lain disebabkan penuntut diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 5:30am
d