mutakhir

Melayu paling ramai

Oleh Wan Faizal Ismayatim

PUTRAJAYA: Kaum Melayu direkodkan sebagai pemajak tertinggi iaitu 1.8 juta tahun lalu, diikuti India (1.6 juta) dan Cina (331,777).

Perkara itu didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin pada majlis pelancaran Aplikasi Mobil i-Gadaian dan Sambutan Hari Raya kementeriannya, semalam.

Zuraida berkata, pihaknya juga mendapati berlaku trend peningkatan bilangan pemajak dan nilai gadaian di premis pajak gadai seluruh negara sejak tiga tahun lalu.

“Kami akan menjalankan kaji selidik berhubung peningkatan bilangan pemajak dan nilai gadaian berkenaan.

“Trend berkenaan memerlukan analisis lanjut mengenai punca mengapa ia meningkat, termasuk kaitannya mengikut kaum sama ada akibat masalah kewangan, gaya hidup atau faktor lain,” katanya.

Katanya, nilai pajakan secara keseluruhan di semua 593 premis pajak gadai aktif di seluruh negara tahun lalu ialah RM8.532 juta berbanding RM8.323 juta dan RM7.868 juta pada 2017 serta 2016.

Zuraida berkata, pihaknya akan mendapatkan statistik atau pecahan (pemajak) mengikut pendapatan namun beliau percaya sebahagian besar adalah golongan berpendapatan rendah.

“Dari sudut lain, trend ini menunjukkan rakyat menggunakan saluran selamat (membuat aktiviti pajak gadai) di premis berlesen dan bukan meminjam dengan along (ceti haram),” katanya.

Mengulas mengenai i-Gadaian, Zuraida berkata, ia adalah aplikasi telefon baharu yang diwujudkan bagi memudahkan orang ramai membuat carian premis pemegang pajak gadai (PPG) yang berlesen dan didaftar di bawah KPKT di Semenanjung.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 6:30am
d