mutakhir

417 selipar ciplak dirampas

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 417 selipar tiruan jenama Birkenstock dalam pemeriksaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Menglembu, Ipoh, semalam.

Dalam pemeriksaan 10 pagi, pegawai penguatkuasa KPDNHEP menemui selipar jenama itu dipercayai tiruan di premis berkenaan dan merampas semua barangan dianggarkan bernilai RM2,933.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak Khalid Tik berkata, siasatan awal mendapati selipar itu dijual kepada pelanggan sekitar negeri ini secara borong dengan harga bermula RM7.

“Penguatkuasa kemudian menyita semua rampasan dan dibawa ke stor eksibit KPDNHEP Perak bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, KPDNHEP memandang serius peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, selain menjaga hak pengguna, KPDNHEP turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan terhadap premis menjual barangan berjenama.

“Ia bertujuan membanteras penjualan barangan tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutama di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 11:29am
d