mutakhir

Gagal seludup 280 tong gas

Oleh Garret Dawum

SEBANYAK 280 tong gas petroleum cecair (LPG) disyaki cuba diseludup ke negara jiran dirampas Batalion 10 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dalam operasi di Pos Kawalan Serikin, Bau, semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, dalam serbuan 10.15 pagi semua tong gas itu dikesan berada dalam sebuah lori.

“Kedua-dua suspek iaitu pemandu berusia 48 dan kelindan 38 tahun juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika diperiksa.

“Semua tong gas itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui jalan darat untuk dipasarkan ke sekitar Kalimantan, Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, rampasan tong gas dan lori terbabit dianggarkan bernilai RM139,000.

“Laporan juga sudah dibuat di Balai Polis Bau dan dua suspek warga tempatan itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:04pm
d