mutakhir

Maut kereta terbabas

Oleh Roselan Ab Malek

PELATIH GIATMARA Jerantut maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Temin, Jerantut, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Muhamad Mazrul Umar, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, tiga lagi mangsa yang parah dikenali sebagai Ruzaini Abdullah, 24, Muhammad Aiman Zulkefli, 19, dan Muhammad Izwan Syafar Mohamad Izaini, 19.

Katanya, siasatan awal mendapati Ford Laser dinaiki semua mangsa dipercayai terbabas.

“Kereta dipandu Ruzaini hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di kiri jalan dari arah Jerantut ke Temerloh.

“Kenderaan dinaiki empat penuntut terbabit remuk teruk dan mereka tersepit di dalam kereta sebelum bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.13 malam dan tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Anggota mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:13pm
d