mutakhir

Pak belalai hirup angin malam

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENDUDUK Kampung Lukut, Kota Tinggi, dikejutkan kehadiran seekor gajah liar berkeliaran di kampung berkenaan, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam, kehadiran haiwan liar itu sempat dirakam penduduk yang berada di lokasi.

Tujuh keping gambar gajah itu dimuat naik ke laman sosial Facebook (FB) dengan tajuk ‘Orang Kuat’ ambil angin malam, sebelum dikongsi laman sosial lain.

Ia mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut memberi komen antaranya mendakwa kehadiran haiwan liar itu disebabkan habitatnya terancam.

“Tempat tinggal ia kena ragut, itu yang gajah masuk tempat manusia. Nak salah siapa? Gajah? Salah manusia yang tidak berperikemanusiaan.

“Dah tidak ada hutan. Kehidupan terganggu, habitat terancam.

“Yalah, tempat tinggal kena ragut, mestilah ia berkeliaran,” dakwa beberapa netizen.

Ada juga netizen mengaku sebagai penduduk kampung berkenaan atau kawasan berhampiran dan memaklumkan adalah perkara biasa melihat gajah berkeliaran di situ.

Mereka mendakwa pernah melihat beberapa gajah di depan rumah dan ada mendakwa melihat haiwan liar itu keluar dari habitatnya untuk mencari makanan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Salman Saaban, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada penduduk berhubung kejadian.

“Kami ada menerima laporan dan satu pasukan dihantar untuk memantau dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:44pm
d