mutakhir

Cetak cukai jalan palsu gred A

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUA wanita antara lima yang ditahan di Melaka dan Selangor kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan cukai jalan palsu atas talian.

Penahanan semua suspek dibuat dalam Operasi Morten oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Jasin (Melaka) serta Balai Polis Tanjung Sepat (Selangor) pada Selasa dan Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan sejak 12 Jun lalu berkaitan pemalsuan cukai jalan dan lesen memandu kenderaan.

Menurutnya, kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima maklumat berkaitan aktiviti mencetak dan menjual cukai jalan palsu atas talian.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan dipecahkan kepada dua kumpulan bagi mengesan ahli sindiket yang dipercayai beroperasi Melaka dan Selangor. Selepas membuat tinjauan di beberapa lokasi, anggota mengesan tiga suspek masing-masing dua di Tanjung Sepat dan seorang di Jasin.

“Pada jam 6 petang, pasukan mengesan suspek pertama yang memandu Nissan Frontier di Felda Kemendor sebelum memberhentikan kenderaan di sebuah taman perumahan di Bemban,” katanya.

Menurutnya, berlaku pergelutan ketika polis cuba menahan suspek sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Katanya, susulan siasatan awal, polis melakukan pemeriksaan di tiga lokasi berasingan ditunjukkan suspek dan isterinya sehingga berjaya merampas barangan cetakan serta urusan pengiriman cukai jalan palsu kepada pembeli.

Mohd Nadzri berkata, ketika pemeriksaan, isteri dan anak saudara suspek (wanita) cuba menyembunyikan telefon bimbit, pencetak, pemotong kertas dan komputer riba, menyebabkan kedua-duanya ditahan kerana menghalang penjawat awam.

“Sementara itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin, pasukan mengesan suspek kedua dan ketiga di Tanjung Sepat yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah.

“Suspek kedua dan ketiga adalah adik-beradik yang aktif membantu suspek utama menjalankan aktiviti mencetak dan menjual cukai jalan serta lesen palsu ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, suspek utama berusia 42 tahun bekerja sebagai penternak ayam manakala dua beradik itu berusia 26 dan 23 tahun adalah penganggur.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Suspek utama turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, bersama-sama isterinya yang juga kerani sekolah berusia 34 tahun dan anak saudara berusia 38 tahun,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki direman empat hari manakala wanita selama tiga hari.

Mohd Nadzri berkata, cukai jalan palsu dihasilkan suspek adalah gred A kerana amat mirip dengan cukai jalan tulen.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan orang tengah yang akan mengiklankan dan mencari pelanggan.

“Selepas pelanggan membuat bayaran, orang tengah akan membuat tempahan kepada suspek utama sebelum dipos ke seluruh negara.

“Laman Facebook dan Instagram turut digunakan untuk mempromosikan kegiatan mereka dan kebanyakan pelanggan adalah pemilik kenderaan klon,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 2:50pm
d