mutakhir

Cik Puan Muda Pahang kemalangan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

CIK Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latiff, terbabit dengan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi - Mersing, dekat Mersing, 8.50 pagi hari ini. .

Cik Puan Muda Julita Aisah, 46, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard bersama seorang penumpang warga Filipina dan pemandunya berusia 24 tahun.

Ketika kejadian, MPV itu dari arah Johor Bahru, menuju ke Kuantan.

Difahamkan, beliau mengalami kecederaan pada pinggang, manakala penumpang yang juga pembantunya dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9 pagi berhubung kemalangan jalan raya membabitkan MPV dan lori.

“Siasatan awal mendapati, MPV terbabit yang ketika itu melalui tempat kejadian iaitu jalan selekoh dipercayai berlanggar dengan sebuah lori.

“Pemandu lori berusia 53 tahun mengalami kecederaan di kaki kanan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.

“Pemandu MPV tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di Mersing, hari ini.

Cyril berkata, seorang penumpang MPV mengalami sakit pinggang dan dirujuk ke Hospital Kuantan, manakala seorang lagi penumpang warga asing tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 3:28pm
d