mutakhir

Haziq ditamatkan perkhidmatan

Oleh Suraya Roslan

KHIDMAT Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz ditamatkan berkuat kuasa Selasa lalu.

Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan pengakuan tidak beretika dalam media sosial dibuat Haziq mengenai beberapa siri video seks pada 12 Jun 2019.

“Kementerian memandang perkara ini sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Surat tunjuk sebab diberikan dengan serta-merta dan Haziq Abdullah sudah menjawab. Sehubungan itu, kementerian mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan berkuat kuasa pada 18 Jun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej dan dengan penamatan itu, kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq

Sebelum ini, beberapa siri video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan Haziq yang mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam video berkenaan.

Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong mendakwa, individu lain dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Haziq ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun lalu ketika mahu berlepas ke Manila, Filipina dan dibebaskan pada hari berikutnya dengan jaminan polis.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 4:25pm
d