mutakhir

Murid lencun bumbung kelas tercabut

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 18 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah, Arau yang sedang belajar basah kuyup selepas bumbung kelas tercabut akibat ribut, hari ini.

Guru Besarnya, Azhar Darus berkata, dalam kejadian 8 pagi itu, semua murid berkenaan baharu masuk ke kelas bagi memulakan sesi pembelajaran subjek Bahasa Melayu.

“Bagaimanapun salah seorang guru datang menemui saya yang ketika itu baharu tiba di sekolah memaklumkan bumbung kelas Tiga Gemilang tercabut sehingga pelajarnya lencun terkena air hujan.

“Saya bergegas ke kelas terbabit dan mendapati kelas berkenaan bersama Bilik Operasi Tahun Enam yang terletak di sebelahnya dibanjiri air hujan.

“Saya mengarahkan murid dipindahkan sementara ke kantin sekolah bagi menukar pakaian sebelum ditempatkan di kelas khas,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Azhar berkata, kejadian itu yang pertama seumpamanya berlaku di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini memang ada kejadian ribut, tetapi tidak seteruk itu sehingga enam keping bumbung bersaiz besar hilang diterbangkan angin.

“Saya lega semua murid selamat dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan Jabatan Pendidikan Perlis, Sharifah Azatul Imma Syed Aziz berkata, sebanyak 19 sekolah di Perlis terjejas akibat ribut, hari ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 16 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah selepas ribut melanda pada 7 pagi sehingga “Bagaimanapun semua sekolah berkenaan tidak terjejas teruk seperti SK Tengku Budriah dan jumlah keseluruhan kerosakan di negeri ini bernilai RM150,000.

“Semua sekolah terjejas meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dan keadaan dapat dikawal oleh pihak pengurusan sekolah terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 4:44pm
d