mutakhir

Dobi jual loteri

Oleh Shamsul Munir Safini

KEDAI dobi dikesan sebagai lokasi baru sindiket loteri haram beroperasi mengumpul dan menerima pertaruhan daripada kaki judi sekitar daerah ini.

Difahamkan, ahli sindiket ini juga bergerak dari satu kedai ke satu kedai lain bagi mendapatkan pemain yang mahu membuat pertaruhan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sindiket itu lumpuh selepas 21 suspek terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita diberkas dalam 11 serbuan berasingan sekitar Butterworth, semalam.

Dalam serbuan antara jam 1.50 tengah hari sehingga 6.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) menahan semua suspek berusia 17 hingga 70 tahun bersama peralatan digunakan mereka.

“Dalam serbuan ini, polis merampas peralatan seperti pencetak mudah alih, telefon bimbit dan wang tunai dipercayai digunakan untuk mencetak pertaruhan dibuat pemain.

“Kita percaya pertaruhan dibuat sindiket loteri haram ini kecil dan dianggarkan dalam sehari mereka boleh mengumpul sehingga RM5,000 jumlah wang pertaruhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kepala Batas, hari ini.

Menurut Noorzainy, pihaknya juga mengesan modus operandi terbaru sindiket haram ini yang menjadikan kedai dobi sebagai tempat mereka beroperasi bagi mengelak dikesan polis.

Katanya, semua suspek ditahan direman antara dua sehingga empat hari sehingga 23 Jun ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM20,000.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 5:56pm
d