mutakhir

15 murid dipercayai keracunan gas [METROTV]

Oleh Ibrahim Isa

LIMA murid Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mengadu sesak nafas dipercayai akibat pencemaran udara, 4 petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan 15 murid berkenaan mengalami muntah dan sesak nafas pada 3.39 petang.

Katanya, susulan itu tiga anggota membabitkan satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke sekolah berkenaan.

“Apabila tiba, anggota mendapati benar berlaku kejadian itu dan menghantar lima murid ke HSI untuk mendapatkan rawatan selain mengarahkan sekolah dikosongkan.

“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan EMRS BBP Johor Bahru tiba di lokasi untuk membantu pasukan awal dan tempat untuk nyah cemar (decontamination) sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz mengesahkan kejadian dan memaklumkan, pihaknya menerima lima murid di HSI dan berusaha memberikan rawatan sesuai.

“Buat masa ini kami masih menjalankan pemeriksaan awal berdasarkan simptom yang ada bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum memberikan rawatan sesuai,” katanya enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, murid terbabit masih dirawat di unit kecemasan dan pasukan perubatan bersedia menerima lebih ramai pesakit jika keadaan memerlukan.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 5:59pm
d