mutakhir

YKTLJ bantu 1,368 pejuang kanser sejak 2016

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

YAYASAN Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) berjaya membantu 1,368 pejuang kanser sejak tahun pertama penubuhannya pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shahrin Rahmat berkata, bantuan disalurkan sejak tiga tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM6.35 juta.

“Sepanjang tiga tahun penubuhan yayasan ini, seramai 1,368 orang pejuang kanser menerima bantuan pesakit terdiri daripada peralatan, bantuan ubat-ubatan dan rawatan.

“Bantuan ini adalah bagi meringankan beban perlu ditanggung pejuang kanser membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM6.35 juta dari Ogos 2016 hingga April 2019.

“Diharap dengan bantuan ikhlas ini, dapat menzahirkan senyuman dalam kalangan pejuang kanser serta ahli keluarga mereka dan kami di YKTLJ sentiasa mendoakan semoga mereka mendapat kesembuhan dan menempuhi hari mendatang dengan ceria serta gembira,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Hari Raya YKTLJ di Johor Bahru, hari ini.

Berangkat pada majlis berkenaan, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ, Datuk Ismail Karim dan Pengarah Eksekutif YKTLJ, Kolonel Datuk Mohamed Perang Musa.

Pada majlis itu, seramai 125 pejuang kanser terdiri daripada 40 orang kanak-kanak dan 85 orang dewasa diraikan dengan diberi sumbangan duit raya daripada Permaisuri Johor sendiri selain YKTLJ.

Mohd Shahrin berkata, pihaknya mengadakan beberapa program untuk memberi kesedaran tentang cara awal mencegah kanser.

“Kita mengadakan program bersama sukarelawan komuniti untuk mendekati komuniti supaya dari peringkat awal kita dapat mencegah atau kenal pasti jika seseorang atau ahli keluarga terdapat simptom awal penyakit kanser,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 6:02pm
d