mutakhir

Kontraktor lega tiada kenaikan harga simen

Oleh BERNAMA

PENGUMUMAN kerajaan mengenai tiada kenaikan harga simen disambut baik oleh kontraktor bumiputera.

Pengerusi Guild Of Bumiputra Contractors Wibawa Berhad, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada golongan kontraktor sekali gus dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan tanpa sebarang kerisauan.

Beliau yang memuji tindakan tegas kerajaan itu berkata ia juga dapat membendung kegiatan menaikkan harga simen secara tidak beretika pada masa akan datang.

“Ini bukan kali pertama kenaikan harga simen berlaku sehingga perlu naik secara mendadak. Jika kenaikan ini dibiarkan, industri pembinaan akan menerima tempias yang sangat besar dan bakal memberikan implikasi kewangan yang teruk kepada kontraktor.

“Pihak kerajaan dan pengguna turut terkesan kerana harga rumah dan bangunan awam seperti hospital, sekolah dan pejabat kerajaan akan mengalami kenaikan. Ini juga boleh menyukarkan usaha kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, terdapat laporan mendakwa harga simen akan naik secara mendadak, manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 9:07pm
d