mutakhir

Penuntut maut dirempuh bas ekspres

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENUNTUT Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 246.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, Anas Genari@Azhari yang beralamat di Taman Jerna, Bandar Bera, Pahang dirempuh bas ekspres selepas mangsa terjatuh apabila motosikal ditunggang hilang kawalan ketika membrek untuk mengelak melanggar belakang sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, Kaunter Aduan Trafik Kuala Kangsar menerima maklumat mengenai kemalangan itu yang membabitkan dua kenderaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dalam hujan lebat sebelum hilang kawalan ketika membrek untuk mengelak melanggar belakang kereta di lorong kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan dia terjatuh di jalan serta menggelongsor ke lorong kanan dan pada masa sama bas ekspres di lorong kanan membrek cuba mengelak namun terlanggar mangsa di tengah lorong kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

“Pemandu bas ekspres berusia 54 tahun serta penumpang tidak mengalami kecederaan.

“Punca kematian belum ditentukan dan bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Kuala Kangsar, ” katanya.

Razali berkata, siasatan di lokasi kejadian sudah dijalankan dan percakapan pemandu bas juga sudah dirakamkan bagi siasatan lanjut termasuk mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 10:15pm
d